Sulam Tampal - Kelahiran


New Page 1

 


Assalamualaikum WBT


Terima kasih kerana sudi menjenguk teratak Kak Rah...
Jom kita Sulam Tampal kehidupan di dunia yang fana ini.

   

<< May 2012 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31

New Page 1

~~~Cerita Hangat~~~

~ Sulam Tampal (Home)
~ Remaja 1-30 (18sx)
~ Noktah Terakhir (18sx)
~ Perbatasan (18PL)
~ Mula Bicara 1-30 (18sx)
~ Catatan (18PL)
~ Jarak Memisah (18PL)

~~~Sahabat Blog~~~

~ The Hustler
~ Sherita
~ Sabak
~ Medonan
~ Kehidupan VS Aku
~ Che Detz
~ Afikblue
~ Asri
~ Kay Rex
~ Budakbasah
~ Shai


~~~~Kenalan~~~~

~Adamjohan ~Awe ~ Asta ~Carlos ~Cool ~Ciki ~Cepoi ~D'Angah ~Ediee ~Ejal ~Dunhill ~Farizz ~Guy ~Hideomi ~Hard ~Heqal ~Idzrie ~Idzyrel ~ Im-stud ~Jamz ~Isaac ~Joker ~Kafa ~Ketam ~LeeG ~Linda ~Lone ~Mieban ~Naza ~Nori ~Nuri ~Rosman ~Sabak ~Sean ~Shah ~Shai ~Shak ~Sobiet ~Spin ~ Tiada Kos ~Tukangtaip ~Tumi ~Virtual ~Yus ~Zamrie ~Zest ~Ziela ~Cypruzkeza (luv u) ~

Read this out loud

This is this cat
This is is cat
This is how cat
This is to cat
This is keep cat
This is an cat
This is idiot cat
This is busy cat
This is for cat
This is forty cat
This is seconds cat

now go back and read the THIRD word only, in each line from the start

~~~Apa-Apa Saja~~~


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Jul 28, 2004
Kelahiran X

Ingat tak pada filem Samurai dan Star Wars, kedua-duanya banyak menggunakan pedang untuk bertarung… satu guna pedang besi dan satu lagi guna pedang leser… emm tapi tujuannya adalah sama iaitu untuk menewaskan musuh..

 

Disebabkan pengaruh tersebut masing-masing mula mencari pedang untuk berlawan tak kiralah yang dibeli atau buatan sendiri.. Pedang buatan sendiri lebih menarik dan nampak canggih berbanding pedang plastik yang dibeli… macam budak-budak lak kalau guna pedang plastik, dah lah mahal cepat rosak pulak.

 

Aku dan kawan-kawan lebih suka buat pedang sendiri, bahan mentah terdapat disekeliling kami…. yang perlu adalah kreativiti itu sahaja.  Masuk dalam ladang cari  anak pokok getah yang tinggi sedepa lagi lurus lagi baik… potong.  Kemudian kulit ari nya diraut/buang… tinggalkan kulit dalam enam inci (emm kenapa mesti enam inci eh… mungkin saiz standard orang Asia kot hehehe) sebagai pemegang.

 

Lumurkan batang getah yang dah diraut itu dengan kapur sirih supaya getahnya dihapuskan dan akan menghasilkan batang warna kuning… cantik oiii.. jemur seketika supaya kapur itu meresap.  Maka siaplah pedang dan sedia untuk digunakan untuk bertarung. 

 

Masa berlawan sudah sampai, pemain dibahagikan kepada 2 kumpulan… sama bagi sama ramai.  Ketua kumpulan akan lawan dahulu tapi main mesti ada syarat… tak boleh kena anggota badan.. hanya pedang sahaja dilagakan.  Lawanlah macam mana pun yang pasti pedang siapa patah dia kalah.. hehe. 

 

Hukuman kepada pasukan yang kalah adalah.. membuat pedang baru dan serahkan kepada pemenang… emm lumayan banyak koleksi pedang nih… Cuma pedang tuh tak tahan lama sebab ia akan kering.. dan akhirnya jadi kayu bakar aja. 

 

Mainan ini memang murah, tidak bahaya kalau ikut peraturan… ia meningkatkan semangat kerjasama antara pasukan dan belajar merangka strategi untuk menentang musuh.  Ini kisah Samurai dan Star Wars, kalau cerita tenta Ninja lagi bahaya alatannya… nanti aku ceritakan.


Posted at 01:59 pm by kak-rah
Make a comment  

Kelahiran XI

Pernah tengok filem Mami Jarum.. tentu ada bukan, masih ingat tak masing-masing berlumba-lumba menunjukkan gelang emas melingkar hingga ke lengan.  Aku masa kecil dulu juga pernah ada gelang hingga ke siku, itu semua hasil titik peluh aku sendiri.. bukan dari pemberian orang tua aku… Cuma gelang yang aku miliki tidak berharga, hanya gelang getah (rubber band) hasil kemenangan aku bermain gelang getah.

 

Main gelang getah atau main getah adalah salah satu permainan di zaman aku kanak-kanak, dahulu gelang getah mempunyai pelbagai warna yang menarik… merah, hijau, biru, kuning, merah hijau, biru kuning  semuanya ada.  Bukan macam sekarang hanya warna coklat sahaja, tak menarik langsung.

 

Ada pelbagai cara untuk bermain getah ini, yang paling mudah main tindih… boleh dimainkan seberapa ramai pun, tak ada had.. caranya dalah dengan berdiri di belakang garisan dan membaling getah  tak kiralah jauh atau dekat… ikut strategi masing-masing.. balingan mengikut giliran… sesiapa yang dapat menindih getah sehingga membentuk lubang kecil dikira pemenang, dan dia akan  ambil semua getah-getah yang telah dilemparkan.  Mudah kan permainan dulu-dulu tetapi penuh dengan perkiraan dan strategi…

 

Cara kedua adalah dengan bermain lastik.. dua batang ukuran panjang lebih kurang 4 inci dipacakkan pada jarak 8-12 inci, kemudian getah direntang antara kedua-duanya… getah yang direntang tersebut merupakan tempat untuk meletakkan gelang getah.. bilangan gelang getah yang diletakkan bergantung kepada persetujuan pemain.. selalunya setiap pemain meletakkan 10 gelang getah jika ada 5 pemain sudah ada 50 gelang getah untuk dimenangi..

 

Untuk menentukan giliran, setiap pemain perlu melastik getah masing-masing jauh dari  umpan… siapa yang paling jauh dia akan melastik  dahulu, yang jadi masalahnya kalau terlalu jauh tentu susah untuk kena sasaran… kalau terlalu dekat ,takut belum sampai giliran umpan sudah mengena, melopong jawabnya… jadi  sekali lagi ada perlu strategi dan perancangan…

 

Tapi yang menyedihkan orang tua-tua mengatakan mainan ini membuang masa sahaja… emm.. mereka tidak tahu dengan bermain getah ini banyak dapat dipelajari… terutama  dalam matematik… belajar mencampur, menolak, mendarab  dan membahagi… juga jangan lupa belajar fizik, sekuat mana getah perlu ditarik untuk mendapatkan kekuatan getaran yang dapat mengugurkan umpan dari rentangan.. belum termasuk kaedah menentukan rintangan/tolakkan angin, sinaran cahaya,  kelembapan sekeliling dan pelbagai lagi… rasa-rasanya jika permainan ini diteruskan sehingga dewasa tentunya ramai ahli sains dapat dilahirkan…

 

Adakah kaedah ini boleh dipraktikkan di sekolah-sekolah, satu permainan yang tidak mahal tetapi pembelajaran yang didapati mencakupi pelbagai bidang… amacam.. apa pendapat anda seklian.


Posted at 01:58 pm by kak-rah
Comment (1)  

Kelahiran VIII

Aswin begitulah nama anak seorang pegawai di tempat ayah aku berkerja.. umurnya sebaya dengan aku, dia ada semuanya… kemewahan.  Aku amat memahami kedudukan keluarga aku, serba sederhana.. tetapi bahagia, aku tetap bersyukur.  Setiap petang aku akan ke rumah Aswin untuk bermain-main, walaupun kaya Aswin bukanlah seorang yang sombong… mungkin jiwanya masih muda belum terdedah kepada angkara..

 

Bermain di sudut rumah, berkejaran di halaman yang luas.. penat berhenti sebentar, hilang lelah main semula.. zaman anak-anak memang penuh dengan keceriaan.. Ada perkara yang berkaitan dengan Aswin yang paling aku ingati sehingga kini… Jika aku terpandang lambang Coke kenangan lalu segera menjelma, dan tentunya Aswin akan tergambar... 

 

Kenapa? sebab pertama kali aku merasa Coke adalah bersama Aswin… setiap kali aku bermain-main di rumahnya Coke lah menjadi minuman kami..  Harganya dalam lingkungan 50-60 sen,  sesungguhnya aku tidak mampu untuk membelinya sendiri.. bagi aku itu adalah minuman mewah.  Aku bersyukur walau hanya diberi seteguk cuma, penghilang dahaga…

 

Aku dan Aswin selalu menangkap sejenis semut yang berketip, besarnya dalam 1cm… duduk dalam lubang yang dikorek lurus, macam lubang ketam halus di tepi pantai… cara menangkapnya senang sahaja, apa yang kami lakukan adalah dengan memancing menggunakan batang rumput mak janda (kemuncup).. batang dimasukkan perlahan-lahan ke dalam lubang (macam biasa jer dengar ayat ini – heheh kecik2 dah tahu oii),

 

Jika ada semut akan terasa batang diketip, tarik pelan-pelan  jangan beri semut lepaskan sepitan… semut diletakkan dalam bekas, dapat semut yang lain masukkan dalam bekas yang sama… apa lagi masing-masing akan serang menyerang, mempertahan kawasan (zalim juga kami yer)… yang kalah mengalami kecederaan, yang kuat pasti menang.. akan di simpan sebagai pahlawan, untuk diuji dengan lawan yang baru…  nasihat aku pada semua, buat baik pada haiwan.. kerna ia juga berperasaan..  kepada semut-semut yang telah aku sakiti, maafkan aku dunia akhirat… aku insaf.

 

Persahabatan aku dengan Aswin tidak lama hanya setahun  cuma,  bapanya berpindah ke negeri lain.. yang  tinggal hanya kenangan yang masih terpahat diingatan…


Posted at 01:57 pm by kak-rah
Make a comment  

Kelahiran VII

Angin bertiup kencang, pakaian dijemuran melambai-lambai… cuaca cerah dan kering, petanda sudah tiba musim layang-layang.. aku dan rakan yang lain, sudah siap dengan layang-layang masing-masing… layang-layang buatan sendiri, ye aku buat layang-layang sendiri… tak lah canggih tapi boleh terbang tinggi, kalau kena anginnya…

 

Alatan yang perlu adalah, kertas minyak (suratkhabar atau kertas  sampul buku pun boleh), buluh, kanji, benang, gunting.. itu sahaja… rangka berbentuk ‘t’ diikat, kemudian kedua sayap dilengkungkan dengan menggunakan benang… Ukur kertas minyak, basikan sedikit dari  saiz rangka dan gunting… Lekatkan kertas minyak itu mengikut benang yang mengelilingi rangka.. kan mudah.

 

Potong lebihan kertas, untuk membuat ekor layang-layang… boleh lekatkan di bawah dan kiri kanan sayapnya… Pasang teraju, yang penting pasang terajunya biar betul, supaya angin dapat dihadang dengan berkesan.. selepas memasang teraju, buat imbangan layang-layang.. maklumlah kalau tak seimbang, layang-layang tak boleh naik.. atau naik senget sebelah, lama-lama mematuk bumi..  kalau berat disebelah kiri, tambah berat disebelah kanan.. guna apa-apa pun boleh, kertas ker, kain ker asalkan tidak tertanggal sudah.. Layang-layang sudah siap untuk dilayarkan..

 

Selalunya benang jahitan ibu aku menjadi mangsa… lilit kat tin susu yang sudah ditebuk sebelah, agar senang untuk memegang… layang-layang sudah diimbang, benang telah diikat… penerbangan sulung boleh dimulakan. Perlu sesaorang memegang layang-layang sebelum dilancarkan, kita panggil menganjung… tiba masa angin bertiup, layang-layang dianjungkan… terbanglah ia membelah angkasa, rasa puas tidak terperi.. melihat lelayang menari-nari…

 

Bagi yang brutal sedikit, guna benang disalut kaca.. tujuan untuk berlaga di angkasa, yang menjadi mangsa akan putus benangnya…terbanglah ia entah kemana, melenggang-lenggok putus haluan.. Cara buat benang kaca, senang aja… benang yang digunakan biar tebal, selalunya digunakan benang bola (itu yang aku panggil – macam benang kait)… kaca-kaca halus dicampur dengan kanji dan disalut kebenang, biarkan kering… benang yang disalut hanya lebihkurang 30-40 kaki saja, kerana yang nak dilaga benang yang hampir dengan layang-layang… yang penting dapatkan persetujuan untuk berlaga, kalau tidak boleh gaduh jadinya… Apabila layang-layang di angkasa, benang disilangkan …. gesel-mengesal.. kaca-kaca menjalankan tugas, menghiris benang dengan rakus… bernasib malang putuslah ia, yang menang pasti gembira..

 

Musim layang-layang tidak lama, akan muncul musim lain menggantikannya.. akan aku ceritakan di lain masa, itupun kalau ada yang sudi membacanya…


Posted at 01:55 pm by kak-rah
Comment (1)  

Kelahiran VI

Apa yang menarik semasa kecil adalah kebebasan, tidak dibelenggu dengan masalah yang tidak kunjung surutnya..   Aku teringat satu kisah, kisah aku mula-mula menonton wayang…. Rumah aku berdekatan dengan sebuah panggung wayang, ianya terletak di atas bukit… Bangunannya besar tak macam panggung wayang (cinemaplex) sekarang… Hanya sebahagian berdindingkan batu, selebihnya berdindingkan zink,.. ye zink yang disusun satu-persatu, seperti hording di tapak pembinaan… itulah rupanya panggung wayang semasa aku kecil.

 

Tayangan hanya di waktu malam, nak tahu kenapa?.. mudah aja, mungkin ada yang tahu sebabnya.. Panggung nie walau berdinding, tapi tak berbumbung dibelakangnya… hanya separuh sahaja yang berbumbung di bahagian hadapan, layar peraknya huh….. sungguh besar, puas mata memandang.  Jika dah terbuka atau open air nie mana ada aircon, jadi angin sejuk malam aja mendinginkan suasana.. kalau hujan maut lah, kena cari tempat yang teduh di hadapan..berdiri. 

 

Tempat duduknya, dipanggil tenggek ayam.. macam tempat duduk dalam pertunjukkan sarkas, atau citrawarna.. lebihkurang macam itu.. Yang aku ingat, aku tengok wayang bertajuk “Herculis”… ala cerita orang kuat, angkat batu angkat segala dengan senangnya.. kalau cerita kita boleh disamakan dengan Badang, gagah perkasa… Bayar tiket harga budak-budak dalam 40 sen aja,  duduklah mana-mana tempat yang kosong.. yang paling dielakkan duduk di barisan hadapan, alamat tergeliat leherlah kerana lama mendongak..

 

Herculis benar-benar nampak besar, gagah… aku yang duduk jauh dibelakang, dapat lihat dengan jelas…  Bunyi projektor kedengaran di belakang, kelihatan pergerakkan cahaya yang memancar darinya… sekejap terang, sekejap gelap mengikut  negetif filem diimbasnya.. sesekali kelihatan kepala orang bergerak-gerak di skrin, kerana menghalang cahaya yang dipancarkan dari projektor… apa lagi, semua menjeritlah… gangguan aja..

 

Angin malam mula bertiup kencang, hilang sudah bintang-bintang yang berkelipan… alamat hujan akan turun sebentar lagi, titis-titis hujan mula dirasa… tayangan dihentikan sementara, memberikan masa untuk penonton bergerak kehadapan… ke tempat yang berbumbung, mana yang bernasib baik dapatlah duduk, kalau tidak berdirilah jawabnya… seronokkan… setelah semua mengambil tempat, tayangan disambung semula…

 

Begitulah keadaannya panggung wayang dizaman kecilku, berbanding sekarang panggung yang serba canggih, selesa dan bersih…  Apabila aku menonton wayang, imbasan kenangan masa lalu berputar seligat putaran filem yang ditayangkan… sungguh cepat masa berlalu, aku rindu kebebasan masa dulu..


Posted at 01:54 pm by kak-rah
Make a comment  

Kelahiran V

27 Ramadhan,  persiapan menyambut Aidilfitri semakin rancak, ibu sedang sibuk menganyam ketupat.. kuih muih tersusun rapi di atas para, pelbagai jenis dan anika warna.. ada kuih putu kacang, sampret, bahulu, suji, makmur dan lain-lain.. semuanya berlainan rasa tidak seperti kuih sekarang pelbagai bentuk dan warna rasanya sama sahaja… kuih segera kekurangan seni dan budaya..

 

Langsir sudah bertukar begitu juga sarung kusyen… bersih dan bertambah menarik ruang tamu.. seingat aku tugas utama aku masa itu adalah mengacau orangtuaku membuat kerja… biasalah kan Hari raya adalah untuk kanak-kanak bergembira… Siang berpuasa separuh hari, petang jadi tukang rasa, malam main bunga api dan mercun.. meriahnya.

 

Malam 27 Ramadhan juga meninggalkan kenangan dalam hidup aku... selesai sahaja berbuka dan aku dan rakan mula keluar bermain bunga api termasuklah anak jiran aku  namanya S yang sebaya dengan usiaku.. manis orangnya.  Ibu dan nenek tersenyum melihat keletah kami… riang  berkejaran sambil bermain bunga api..

 

S yang sedari tadi asyik bermain turut berlari  apabila dikejar, sesekali dia menoleh kebelakang .. malang tidak berbau S tersandung busut kecil di hujung rumah,  dia terjatuh dan terlanggar para pelita.. api menyambar tubuhnya.. semua tergamam. S meraung, ibu menjerit meminta tolong malangnya tiada sesiapa yang ada hanya kanak-kanak dan orang perempuan sahaja, yang lelaki masih lagi di surau bertarawih. 

 

Api semakin marak, nenek mengarahkan ibu mengambil guni alas kaki dan basahkan kemudian selimutkan S dengannya. Ibu menurut kata nenek dan api yang menyala beransur-ansur padam.  Kedengaran suara ayah dan lain-lain dari kejauhan, ada orang yang memberitahu kejadian ini di surau.  S segera dibawa ke hospital.. cedera parah..  

 

Allah lebih menyayangi S, dia pergi buat selama-lamanya… pastinya kemeriahan Aidilfitri bagi keluarga Pak Aman tiada ertinya.. anak kesayangan telah pergi buat selama-lamanya…  Ini lah 2 kisah yang menyayat hati berlaku ketika aku berumur 5 tahun… kata pepatah hidup tidak selamanya menongkat langit.. bila-bila masa kita akan kembali .. bersedia dari sekarang untuk menghadapi hari pembalasan..  (bersambung)

 

nota : sentiasa menjaga dan mengawasi anak/adik kita sepanjang masa terutama yang masih kecil dan belum dapat membezakan antara baik dan buruk... kerana dalam sekelip mata banyak perkara yang akan berlaku dan kekesalan dari akibat kecuaian kita akan meninggalkan kesan sepanjang hayat.


Posted at 01:53 pm by kak-rah
Make a comment  

Kelahiran IV

Itulah permulaan latihan puasa yang ibu berikan (mana ibu sanggup mendera anaknya hehe), ye sekarang sudah masuk bulan Ramadhan…bulan mulia lagi mulia. …Bulan turunnya Al Quran..bulan yang mempunyai satu malam yang diberkati.. malam Lailatulkadar, amalan seumpama 1,000 bulan, Maha Agung Ya Allah Ya Tuhanku  dengan limpah kurnianya.

 

Cuaca sepanjang Ramadhan memang panas bersesuaianlah dengan maksud Ramadhan itu sendiri  (nak tahu ertinya sila rujuk Kamus atau pada Ustaz). Menjelang maghrib berduyun menuju ke surau, untuk berbuka dan bersembahyang Maghrib, Isya’ dan Terawih.  Seperti biasa aku turut ke surau bersama ayah… begitu juga rakan-rakan aku yang lain.. memakai baju melayu nampak kemas, bergaya dan menggoda... J

 

Orang sembahyang, kami tidak.. maklumlah hendak sembahyang kote masih kecil lagi opps usia masih mentah mana tahu hukum hakam adat sembahyang.. yang penting kami diminta jangan berbuat bising..  Hidangan khas untuk kami memang telah disediakan dan diletakkan sudut surau, kami diberi makan dahulu agar tidak mengacau.. Kekenyangan, duduk di mata tangga, menanti ayah habis terawih.. 

 

Hari berlalu, aku sudah tahan berlapar hingga tengahari.. KR mari ikut ayah ke bandar, yesss tentu ayah ada rencana membawa aku bersama.  Di bandar ayah membeli karbaid, sumbu dapur, minyak tanah, bunga api dan mercun (pada masa itu belum diharamkan… beruntungnya anak-anak tahun x0an).  Yang pasti malam ini akan riuh satu kampung dengan dentuman meriam buluh.. menandakan sudah masuk 7 likur.. seluruh halaman pasti akan disirami dengan lintuk tari cahaya pelita yang dibelai bayu malam..

 

Kaboommm kedengaran letusan meriam dari kampung seberang, cabaran yang beri disambut bagai pahlawan  menentang lawan di medan perang… KABOOMMM… cabaran dibalas, pastinya pusingan pertama dimenangi oleh  kami (cuba perhatikan sound effect yang terhasil – Kaboommm vs KABOOMMM hehehe).  Cabar mencabar, bom mengebom, sama-sama handal, sama-sama gagah, berpantang maut sebelum ajal, baru bererti setiap perjuangan.. Tidak seperti negara ‘itu’ menyerang musuh yang terikat tangan  dan kaki seraya mengaku akulah pelindung keamanan (boleh percaya ke)…

 

Sesekali terdengar suara ibu dan mak cik  diserambi, pastinya sedang tekun ‘memukul’ putih telur supaya kembang… hendak dibuat kuih bahulu,  kuih yang remeh dimasak tapi enak dimakan. Aku bersama teman  bermain  mercun padi, walaupun kecil.. bunyinya kuat sekali dan yang perempuan bermain bunga api (bertangkai besi, tidak ada asap ma.. tidak macam bunga api sekarang, asap melebihi paras pencemaran).  Meriah sungguh suasana di malam 7 likur, aku tidak pasti adakah suasana ini masih ada di masa sekarang…. emmm…


Posted at 01:50 pm by kak-rah
Make a comment  

Kelahiran III

Esok KR makan pukul 11 pagi pulak.. aku cuma merenung tanpa memberikan jawapan.. Sudah kes penderaan ni, perlukah aku lapor kepada pihak berkuasa. (bukan sekarang saja ada kes dera). Sampai hati ibu melakukan demikian terhadap darah dagingnya sendiri, dimanakah sifat keibuan yang diagung-agungkan itu.

 

Sungguh bertuah anak yang mempunyai ibu yang penyayang (ibu anda macam mana?).  Aku sudah dapat bayangkan esok pasti aku akan kelaparan lagi malah tidak juga diberi minuman.. sengasara, tersiksa… tergamak sungguh ibu. Hendak mengadu kepada ayah, ayah sedari awal sudah keluar berkerja, senja baru kembali.. aku rindu padamu ayah, pulanglah ayah, tanpa aku sedari air mata hiba mengalir laju…

 

Ibu sudah banyak berubah.. dahulu ibu amat penyayang, malahan minggu lepas ibu dan ayah membawa aku ke bandar membelikan pakaian baru.. Aku keliru dari mulut ibu terpancul kata sayang (mungkinkah itu hanya lakonan dihadapan ayah)..tetapi perbuatannya sungguh menyiksakan.. tubuh kecilku mana tahan menanggung kelaparan, dapatkah aku membesar dengan sempurna.

 

Aku simpati kepada insan malang yang senasib dengan ku… aku mengerti penderitaan kalian.  Semoga tabah menghadapi dugaan dan cabaran. Namun aku tetap sayang pada ibu aku redha diperlakukan apa sahaja, engkaulah permata hidupku…yang mengandungkan aku sembilan bulan sepuluh hari.. Jasa mu amat bererti, tanpa mu ibu tiada keujudan ku di dunia fana ini..

 

… “ibu..ibu.. engkaulah ratu hatiku… ibu.. ibu.. engkaulah ratu hatiku” (lirik lagu yang sering terngiang-ngiang di teliga ku hingga kini).. akan aku sembung ceritera ini, tidak sanggup untuk meneruskannya lagi, sebak dada ku mata ku berkaca…


Posted at 01:49 pm by kak-rah
Make a comment  

Kelahiran II

Panjang umurnya.. panjang umurnya.. panjang umurnya (panjang semua)... serta mulia.. serta mulia... aku merasa sungguh gembira hari ini.. genaplah usiaku 5 tahun.  Ramai rakan-rakan yang hadir meraikannya, Mak Cu (adik ibu yang bungsu) menjadi MC merangkap pengendali sukaneka bagi majlis ini.  Pelbagai jenis permainan diadakan..sungguh meriah.  Selesai majlis aku membantu mengemas mana yang patut, Mak Cu jugalah yang jadi tukang pengemasnya (superpower women). Bak kata keramat, 'besar jangan disangka bapak..kecil jangan disangka anak' ... opsss silap 'yang lemah pasti ada kekuatannya.. yang kuat pasti ada kelamahannya'.

Aku sangat manja dengan Mak Cu.. maklumlah Mak Cu nie masih anak dara (hehe kecik-kecik dah menggatal). Mak Cu cukup ringan tulang dan sentiasa bersedia menyumbangkan kudrat kepada yang memerlukan. Aktif dalam pasukan berunifom yang pada masa itu dipanggil "Red Cross" (sekarang nie - Bulan Sabit Merah).  Bila ke pasar pasti menjadi siulan anak-anak muda yang memakai seluar "bell bottom".. potongan seluar yang popular masa itu (all-ala John Travolta Saturday Night Fever). Nenek cukup perihatin dengan anak dara dia yang saorang nie, kalau hendak kemana-mana mesti berteman.. yang jadi mangsanya adalah aku (tentunya dengan upah..  kecil-kecil dah cari duit macam buruh kanak-kanak pulak).  

Satu pagi minggu aku lihat Mak Cu sudah siap memakai uniform red crossnya...anggun bergaya.. Aku tanya arah tujuan... katanya ada temasya sukan kat sekolah MS** sekolah asrama, semua pelajar lelaki (mesti ramai yang cando hehe). Aku menghantar Mak Cu ke muka pintu.. dan memandang susuk tubuh Mak Su yang seperti kerengga (gatal), sehingga hilang dari pandangan. Seperti biasa sesudah sarapan aku keluar jumpa geng... apa lagi untuk meronda-ronda kawasan (polis tidak rasmi).

Petangnya Mak Cu pulang, aku lihat wajahnya tidak ceria.. berkerut-kerut menahan kesakitan namun wajahnya tetap ayu menggoda. Aku hampiri dan membelai tangannya, kehangatan terasa...Mak Cu demam, kena hujan ujarnya.  Ayah menghantar Mak Cu ke hospital,  doktor kata demam panas perlu ditahan sementara di wad. Ibu menemani Mak Cu yang telah lena, aku sayu untuk meninggalkan dia namun aku berjanji akan datang esok hari.. Tengah malam aku tersedar ayah mengejutkan aku, katanya hendak ke hospital.. aku lihat nenek sudah bersiap.. wajahnya yang sudah dimamah usia kelihatan resah.

Sesampainya aku di hospital ibu menyambut kami, ibu bebisik ke telinga ayah... entah apa biji butirnya aku tak pasti.  Ayah kelihatan sungguh tenang menghadapi situasi...Mak Cu koma kata ayah pada ku, aku mengangguk (macamlah aku faham maksud koma dimasa itu) yang aku tahu keadaan Mak Cu semakin parah.. Sepanjang malam kami menunggu... terbayang-bayang aku akan kelibat Mak Cu, tersenyum ke arah aku manis sekali... aku membalas senyumannya. 

Manusia hanya merancang Allah juga yang menentukannya, Mak Cu pergi tanpa sedar dari komanya dalam usia 16 tahun, wajahnya nampak tenang setenang air di tasik madu... Hari-hari yang berlalu bagaikan kosong, tiada lagi kegembiraan dan keceriaan Mak Cu.. Namun aku redha akan ketentuanNYA... Semoga rohnya dilimpahkan rahmat... Amin.. (bersambung)

Posted at 01:47 pm by kak-rah
Make a comment  

Jul 27, 2004
Kelahiran I

Weekkk, weekkk suara bayi memecah keheningan pagi yang dingin bersahutan dengan seruan azan.  Lahirlah aku seorang insan lelaki cando (perasan) yang menjadi penyeri rumahtangga bahagia, bersyukur ke atas kurniaannya.. Alhamdullilah.  Ibu membelai dan mendodoi permata hatinya dengan penuh kasih sayang.. Tiba-tiba seluruh badanku menjadi biru, suasana bagaikan dilanggar garuda.. hiruk pikuk tak keruan. "Kakak, bayi ini perlu dibawa ke hospital dengan segera, ada benda tersekat dikerongkong" ujar misi yang menyambut kelahiranku (ibu kata misi nie masih anak dara, mungkin sekarang dah jadi nenek agaknya).. Bagaikan disambar halilintar, ibu bungkam tanpa kata, dengan lirikkan mata ibu membenarkan aku dibawa pergi ke hospital KK..sambil mendoakan kesejahteraanku. Kecekapan petugas hospital telah menyelamatkan aku dari di'delate' dari dunia yang fana ini.  Itulah cerita detik-detik keliharanku. - Moral cerita ... kecik kecil dah susahkan ibubapa.

Aku tidaklah ingat semua itu, yang pasti aku membesar berkat dari susu cap gantung (asli, lemak berkrim penuh khasiat). Masa berlalu aku semakin membesar dan sudah mula menempuh dunia kanak-kanak.. dunia yang penuh ceria tidak perlu memikirkan apa-apa masalah. Celik saja mata dah mula nak keluar main (maksud 'main' dari prospektif kanak-kanak bukan orang tua ok).. ibu tidak menghalang katanya jangan main dekat landasan keretapi, tempat lain boleh. 

Satu hari, aku pulang untuk makan tengahari, ayah telah siap menjamu selera dan sedang berehat di ruang tamu.  "KR (Kak Rah he he) mari sini ayah nak cakap sedikit" panggil ayahku..Sesampai sahaja aku disisinya ayah terus berkata "bulan depan kita akan berpindah ke J****". Aku terjerit riang kerana J***** adalah kampungku. Hari-hari yang mendatang dipenuhi dengan aktiviti membungkus dan menguruskan pemindahan. Aku apa peduli setiap hari asyik keluar bermain-main sahaja.

Tepat pada waktu dan tarikh yang dijadualkan kami pun berpindah  meninggalkan Ker**** buat kesekian kalinya.. Selamat tinggal rumah kelahiranku, tempat berteduh selama 4 tahun. Tanpa disedari air mataku berlinang, seribu kenangan ditinggalkan. Terimakasih kepada rakan-rakanku yang sudi menumpangkan kasih, suka dan duka, akan ku ingat selalu (hehehe nama-nama korang aku dah lupalah). 

Perjalanan yang sungguh membosankan, jauh juga jaraknya.. Akhirnya tiba juga aku di J**** dan disambut oleh kaum keluarga dengan gembira.  Sekejap saja sudah beres barang-barang dipunggah dan dikemaskan (untung bila ramai sedara). Aku macam biasa, terus hilang bermain dengan sepupu-sepupu aku. Itu yang aku ingat sedari umur aku 1 hari hingga 4 tahun.. Apakah kisah yang berlaku pada usiaku 5 tahun? ada 2 perkara yang menjadi ingatan yang mengesankan kepada keluargaku... akan ku ceritakan nanti.. (maaf sekiranya cerita ini membosankan, tapi aku nak ceritakan juga hehe)... 

Posted at 11:28 am by kak-rah
Make a comment